Translate

Monday, March 18, 2013

Talbiyah

Firman Allah SWT:
"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadaMu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.”(Surah Al-Hajj :27)

Itulah seruan Allah kepada hamba-hambaNya. Sebaik sahaja selesai memakai ihram dan berniat umrah serta seusai solat sunat ihram, maka sunat para jemaah umrah melafazkan ‘Talbiyah’ sebagai respon dari seruan Tuhan. Menyahut seruan Allah, membuat pengakuan atau ikrar, janji taat setia dengan berdialog secara langsung dengan Allah SWT0.لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَBerkata Ibnu Abbas RA,: “Ketika Allah SWT memerintahkan Ibrahim AS untuk mengkhabarkan manusia agar berhaji, Ibrahim AS berkata:يا أيها الناس إن ربكم اتحذ بيتًا و أمركم أن تحجوه فاستجاب له ما سمعه من حجر أو شجر أو أكمة أو تراب أو شيئ  فقالوا لبيك اللهم لبيك “Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah (Kaabah) dan memerintahkan kamu untuk berhaji kepadanya. Lalu menerima panggilan ini apa saja yang mendengarnya dari batu-batuan, pokok-pokok, bukit-bukit debu atau apa saja yang ada, lalu mereka berkata لبيك اللهم لبيك……” (Ibnu Jarir)

Itulah kebesaran dan keagungan Tuhan. Segala makhluk menyahutnya.
“Kami datang menyahut seruanMu… Kami datang menyahut seruanMu… Bayangkanlah, ribuan tumbuh-tumbuhan berkata: “Kami datang menyahut seruanMu… Kami datang menyahut seruanMu… Jutaan batu-batu menyahut:“Kami datang menyahut seruanMu… Kami datang menyahut seruanMu… Entah berapa bilion debu-debu menjerit:“Kami datang menyahut seruanMu… Kami datang menyahut seruanMu…

Maka gegak gempitalah agaknya di alam roh dengan suara talbiah, sedangkan manusia yang tidak aktif rohnya ini masih sibuk tawar menawar tasbih koka, sibuk mecuba-cuba cincin perak batu Colombia, memilih-milih jubah Haramain, Asil, Daffa atau jubah SAR10 Tikruni, sibuk tawar menawar attar dan kupiah. Tanpa roh yang aktif, kita umpama bangkai bernyawa, tidak berharga sama sekali. Berada di Tanah Haram hanya kerana mencari rezki dan mengejar dunia semata-mata. Tutup kedai ketika azan hanya kerana takutkan Baladiyah dan Mutowwi’, kemudian bersolat di tempat yang kesuciannya sangat diragui dengan mulut yang baru meludahkan air sirih merah.

Patutlah Syh Fadh mengulang-ulang: “Alangkah baiknya kalaulah Mekah dan Madinah bukan berada di KSA…”  Petang semalam anjang naik ‘prebet sapu’ yang hanya kerana nak lebih lebih duit tambang sanggup menafikan dia muslim. Dia Islam setengah-setengah je. Memaksa kami, tanpa rasa malu membayar lebih dari harga yang telah dipersetujui. Sanggup menipu, mendakwa tak tau kawasan perumahan kami, walhal dia sangat tahu. Ya Allah, Mekah sudah sangat patut diselamatkan.

Kalaulah hati manusia mendengar ucapan talbiah segala makhluk selain jin dan manusia, sudah tentu mereka insaf.
“Apabila setiap muslim bertalbiyah maka akan bertalbiyah bersama-samanya mereka yang berada di sebelah kanan dan kirinya samada batu atau pokok-pokok sepanjang perjalanan dari sini dan sana.”(Riwayat Tarmizi dan Ibni Majah.)
Jumhur Ulamak menetapkan bahawa Talbiyah itu disyariatkan untuk dibaca oleh para Jemaah Haji dan Umrah ketika dalam keadaan Ihram dan berhenti ketika istilam. (Menyentuh Hajar Aswad atau melambai dengan isyarat ketika memulakan tawaf)

‘Talbiyah’ berasal dari perkataan Arab yang bermaksud membalas atau menjawab seruan dengan mengucapkan;

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ“

Daripada Abdullah bin Umar RA, sesungguhnya Rasulullah SAW setelah duduk di atas kenderaannya untuk bertolak dari masjid Zi Al-Hulaifah, Baginda membaca Talbiyah: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, (Tuhan) yang tidak ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.”  (Riwayat Muslim)

Para sahabat Rasulullah SAW mengeraskan suara mereka dalam bertalbiyah hingga kehilangan suara sebelum sampai di kota Makkah, sebagaimana dikisahkan Abu Hazim:كان أصحاب رسول الله إذا أحرموا لم يبلغوا الروحاء حتى تبح أصواتهم“Para sahabat Rasulullah jika berihram (bertalbiyah ) belum sampai Rauha’ telah serak suara mereka.

”Kaum wanita boleh menguatkan suara ketika bertalbiyah jika tidak menimbulkan sebarang fitnah.Sabda Rasulullah SAW dari Ummu Salamah RA katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Wahai keluarga Muhammad! Sesiapa berhaji, maka hendaklah dia membaca Talbiyah dengan suara yang nyaring untuk hajinya.”  (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Tadi jumpa orang Kluang, Johor, Us Husaini di lobi hotel Tajj Sofwah. Dia bantu ibu dan ayahnya buat umrah. Mudah-mudahan kawan-kawan yang lain akan menyusul, Zaidi Sanip, Abu Hassan, Syh Jo, Mislan. Anjang tunggu di sini je la. Ok, setakat ini sahaja perkongsian kita. Jumpa lagi. MZB.

Bilik 704, Funduq Wajh Al Fooz, Mekah.2.52am, Feb 28, 2013.

Sunday, March 17, 2013

Kematian dan Gila di Mekah

“Mohon sesiapa boleh bantu ana,ada seorang jemaah kita Alfajr baru sahaja mninggal dunia,jemaah yg jatuh bilik air 3 hari lepas.meninggal dlm bilik hotel no 1206..ana skrg di hotel,ambulance otw.. Allah tolong permudhkn urusan”

"Alfatehah utk arwah Aminah bt Ali yg bru meninggal jam 11.32 malam ni..jemaah alfajr”

"Esok group gemilang xjadi ambik mutawwif kita,dan esok ana kene ke kdutaan utk ambik surat kbenaran kebumian jemaah umrah yg mninggal mlm ni.”Itu tiga bbm yang kami terima dalam grup dari Syh Abil, anak Syh Amran dan Ibu Itta yang sangat aktif di sini. Rupanya tugas mutawwif ni meliputi segala-galanya. Hidup dan mati. Sakit dan sehat. Tenang dan kelam kabut. Siuman dan gila. Apa saja berkaitan para mu’tamirin, di bawah tanggung jawab kita.

Beberapa hari lepas, anjang turun dari hotel Wahj Fooz menuju Riadhah Hijrah, nampak Abil di tengah jalan. Dia sedang dipeluk seorang lelaki yang agak kurang terurus. Lelaki itu bercakap-cakap dengannya, Abil kelihatan memberi perhatian dengan penuh simpati. Berminat untuk mengambil tahu, anjang tanya Abil,
“siapa tu?”
"Dia ni la yang ana uruskan paspot sementara sebab katanya paspotnya hilang. Visa umrahnya dah habis. Ana ulang alik 4 kali ke Konsul di Jeddah, siapkan dokumen perjalanannya. Bila dah siap, dia serahkan paspot dia.”
"Rupanya ada paspot disimpan.”
"Dia ada gangguan mental. Tak tahan emosi. Padahal pegawai di Jabatan Perhutanan, lulusan luar negara.”
“Dia mula mengamuk bila driver bas mendesak-desak, menjerit-jerit nak baksyis (saguhati) dan merokok. Dia tumbuk driver tu dan keluar dari bas.”
“Duduk di masjidil haram, tak balik-balik hotel. Rombongan umrahnya dah balik Malaysia.”
"Bila nampak orang merokok di Masjidil Haram, dia mengamuk lagi. Tumbuk orang tu. Kena seret polis. Masuk hospital sakit jiwa.”
Selesai kita uruskan dokumen perjalannya balik Malaysia, tiba-tiba dia tunjukkan paspotnya yang disorok. Nasib…Nasib. Abil terkena kali ni. Bak kata Tam, selama ni Abil menipu orang Arab, Allah balas di Mekah ni, orang gila tipu Abil. “̮ ƗƗɐƗƗɐƗƗɐ  ƗƗɐƗƗɐƗƗɐ “̮
Hari ni Abil uruskan jenazah. Moga-moga roh Aminah binti Ali diterima baik Tuhan. Al Fatihah.
Bercakap tentang kematian, rasa pilu bila baca Harian Metro dan melihat gambar seorang kanak-kanak yang baru kematian bapanya seorang anggota keselamatan yang bertempur dengan penceroboh dari Sulu. Mari kita hadiahkan bacaan Suratul Fatihah kepada roh keduanya. Al Fatihah.

Lobi Riadhah Hijrah, Mekah.7.53am, Mac 2, 2013

Beradablah Selayaknya Sebagai Tetamu Allah

Salam ceria.“Mulo-mulo jaji hotel 200 meter dari Masjij Hare, pah baya jadi 400 meter. Bilo sapa sini, lebih 1km. Kalu tahu mace ni, tak ikuk Travel ni..” Kata seorang kakak dengan slang Kelantan, entah betul tak anjang tulis di atas tu. Kawannya pula menambah, dia dah kira dari masjidil Haram ke hotel, 1200 langkah, jadi 1.2km. Seorang lelaki, (dari Kelantan juga) pula menafikan, 1200 langkah je, tak sampai 1.2km. Suami salah seorang wanita itu mempertahankan sambil mengukur saiz tile 1 meter dan mula berjalan dengan langkah besar, untuk buktikan 1 langkah bersamaan 1 meter.Kakak yang pertama menyambung, yang dia boleh menerima kuliah anjang dalam bas supaya bersabar dengan ujian Allah. Redha dengan ketentuanNya. Tapi yang nak sabar tu bila terpaksa bersesak-sesak ketika tawaf dan saie. Itu betullah dari Tuhan. Tapi kes ni perancangan manusia. Janji nak beri hotel Massa. Tapi dapat hotel jauh macam ni. Makanan pula macam dalam penjara.

Aduuh, terasa di hati anjang. Terbayang muka Syh Azam dan Syh Inaam. Hj Johari pula cuba mempertahankan anjang, “Ustaz hanya menyambut di sini, Ustaz tak ada kena mengena.”Menurutnya, dia faham tapi nak meluahkan perasaan. Lepas tu, harga bertambah. Yang 4 orang 1 bilik, tak ada tambahan, tapi yang berdua kena tambah seorang RM600. Kenapa tak cakap awal. Paling tak boleh terima, hotel jauh. Duit bukan masalah, tapi jauh sangat. Lepas ni, never…never… Tak akan ikut Travel Agent ni lagi.Anjang kata, apa kata kita terima macam ni, kata Rasulullah SAW, sesiapa yang bersuci lalu ke masjid, setiap langkahnya diampunkan dosa dan diangkatkan darjat.Akak tu kata, memang le banyak pahala Ustaz, tapi mulut saya tak tahan. Nak mengunkit-ungkit je, akhirnya habis pahala.Dah la hotel jauh dari masjidil haram, makanan macam dalam penjara je. Kat Malaysia, bukan main kempen, makanan kita paling best. Jemaah lain pun tumpang makan kat kita. Punyala sedap…Gluppp!! Terasa anjang.

Sangat terasa bila ulang kata katering macam penjara. Terus anjang duga, “Akak pernah masuk penjara ke?”“Tak.”“Jadi macam mana akak kata macam dalam penjara?”Suaminya mempertahankannya, “Biasa tengok filem tentang penjara, macam itu la…”“Di penjara, makan free. Sini bayar…” Katanya lagi. Orang kalau dah marah, semua tak kena.

Seorang Datuk berasal dari Negeri Sembilan, nampak tenang je. Dia datang dengan isterinya. Bila anjang tanya khabar, “Apa khabar Datuk?”, dia enggan dipanggil dengan gelaran yang ramai orang berminat tu. Malah ada yang sanggup amik dari Kesultanan Sulu yang akhirnya menuntut pemerintahan di Sabah dengan kekerasan.“Datuk dah saya tinggalkan di Malaysia, sini nak tumpu ibadah saja.”Datuk sangat tak selesa dengan karenah jemaah yang asyik menyatakan tak puas hati dengan lokasi hotel, makan minum dll. Kata Datuk, “Bagus Ustaz, hentam sikit mereka tu. Tak habis-habis mengungkit.”Macam tak boleh terima takdir.

Tapi grup Pak Hendra lagi dahsyat, depan Masjidil Haram, bila disebut sabar-sabar, kita kan di depan Masjidil Haram. Semua yang berlaku adalah takdir Tuhan. Lantas mengangkat tangan, mengepal buku lima di depan muka Pak Hendra,“Tuan, jangan sebut takdir-takdir, kalau saya tumbuk tuan sekarang, boleh ke tuan katakan; ini takdir Tuhan!!!”Cemas melihat karenah manusia. Dah depan Kaabah, dekat sangat, nak menuju tawaf, sanggup tahan Pak Hendra, lalu berkata: “Saya nak hak saya, tolong pastikan, di mana bilik saya!!” Sedangkan Pak Hendra bertugas menolak wheelchair. Bukan menentukan bilik.

Selalunya, ada jawapan dari Tuhan. Di hari akhir mereka di Mekah, lelaki yang mengherdik Pak Hendra datang kepadanya memohon ehsan.“Ustaz, boleh tak sediakan saya wheelchair untuk tawaf wada’, saya kena ghout.” Katanya sambil menunjukkan pergelangan kakinya yang membengkak.

Ooh Mekah… Terlalu banyak kalau nak dicoretkan sikap dan perangai negatif manusia di sisimu. Patutlah Hajar Abyadh minal Jannah pun boleh berubah menjadi Hajar Aswad. Berlatihlah untuk rasa malu dan tak layak ke sini, agar dikekalkan rasa-rasa tersebut untuk pandai beradab dengan Tuhan di depan pintu rumahNya. Ketika menjadi tetamuNya. Agar kita diterimaNya. Lalu dikaabahkan hati kita untuk selalu mengingatiNya setiap detik dan ketika.

Jumpa lagi.Bilik BOD, Istana RSA, Mekah.6.00pm, Mac 3, 2013.

persediaan untuk berumrah


"Apa merah-merah di kain ihram kau ni?" Seorang jemaah umrah menegur rakannya.
"Entahlah, kena sirap kat mana ntah..." Jawabnya simple.

Setelah di'chek' rupanya darah dari buasir. Pak Cik ni mengidap buasir. Jenuh la call Syh Salleh, nak pastikan hukum hakam seorang yang berpenyakit begitu. Membawa najis. Sedangkan umrah itu ibadah khusus. Umrah kena dibuat dalam keadaan suci. Khasnya tawaf.

Ertinya kain ihramnya kena dicuci atau tukar yang lain. Pesakit pula kena cuci buasirnya dan segera pakai 'pampers' dewasa. Pak Teh yang jaga jemaah itu memberi wang SAR50 kepada seorang jemaah untuk membeli 'pampers' dewasa dan beritahu Pak Cik tu apa yang patut dibuat.
Tak berapa lama selepas itu Pak Teh dikejutkan dengan tindakan Pak Cik itu yang sangat mencemaskan,

"Macam mana nak pakai pampers dan ihram ni?!" Katanya ketika keluar bilik air sambil memegang kain ihram dan pelekat wanita di tangannya dalam keadaan telanjang bogel.

Astaghfirullah. Dah le telanjang, sapa pulak yang belikan towel wanita niii!!! Orang suruh beli pampers (tuala pakai buang) dewasa, dibelinya towel wanita. Paraaahhh!!!. Pak Cik ni pulak, bogel keluar bilik air.
Pak Teh kena la layan gak. Apa nak buat, banyak orang, banyak ragam. "Sudaa'... sudaa'"
"Pak Cik sumbat je la kotex tu kat belakang, kain ihram mari saya pakaikan."

Selesai dipakaikan kain ihram Pak Cik tu kata dengan selamba,
"Maaf Nak, sebenarnya Pak Cik tak de otak." Katanya sambil menekan jarinya ke kepala. Nampak jari tu tenggelam di bahagian belakang kepalanya.
Terperanjat beruk Pak Teh dibuatnya. Tak de otaaakk?! Bahaya ni. Orang gila ke? Rupanya bukan tak ada otak, tak ada sebahagian tempurung kepala. Dia baru buat pembedahan. Kesiannya. Sapalah yang bawa dia pergi umrah. Rupa-rupanya ketua kumpulan yang bawa, dengan janji akan jaga kebajikannya di sini. Di Mekah.

Ni la antara sikap ketua-ketua grup. Mereka ditawarkan oleh Travel Agent, jika dapat kumpul 10 orang untuk join pakej umrah, dia dapat free 1 tiket. Tu yang pulun cari. Janji macam-macam. Tak kira orang ada otak ke tak ada otak. Orang sakit ke sihat. Orang siuman ke gila, semua dibawa. Semua diangkut. Yang penting dia lepasi kuota 10 orang. Maka berjanjilah, nanti di sana akan dibantu. Akan ditolong dsb.
Sepatutnya nilai dahulu, tanya tuan punya diri, dia mampu atau tak? Disamping kita nilai kemampuan fizikalnya. Kalau dah usaha, tiba-tiba terjadi di sini sesuatu yang tak kita jangka, sabar dan redhalah. Tapi kalau berisiko besar, elok dielakkan.

Aku rasa, orang yang sebahagian kepala tanpa tempurung, hanya ditutup dengan kulit kepala sahaja, rasanya merbahaya untuk ke sini. Kalaulah dirempuh, atau terjatuh, atau terlanggar objek tajam di kepala. Bertabur otak di jalanraya. Eeei ngeri. Tak tau la apa pendapat pembaca...di tambah dengan sakit buasir dan tindakan yang tak dijangka (telanjang bogel). Moga para leader group memikirkan segala kemungkinan, bila berlaku masalah pula pandai menyelesaikannya. Proaktif untuk membantu, bukan membiarkan sahaja anak-anak buahnya. Kesian Pak Teh dan kawan-kawan.

Ok, itu saja coretan hari ni. Nak tunggu bas Pak Ikin. Bawa jemaah kenduri di CNM.

Kantin Hotel Riadhah Hijrah, Mekah.
4.12pm, Mac 4, 2013

Tujuan Mengerjakan Umrah

Haji itu ertinya pada bahasa qasad. Dalam BM qasad itu menuju/tujuan. Ertinya pergi haji itu menuju Allah. Umrah itu disebut juga sebagai haji kecil. Ertinya pergi umrah juga menuju Allah. Untuk dapatkan Tuhan. Tuhan bukan di Kaabah. Sebab Tuhan tidak bertempat. Tetapi Allah perintahkan kita beribadah di Kaabah. Ia adalah perintah Allah untuk mendapatkanNya.

Mendapatkan Allah adalah mendapatkan cinta dan takut Allah. Rasulullah SAW menanamkan cinta dan takutkan Tuhan selama 13 tahun di era Mekah walhal Allah itu Esa tetapi hanya 10 tahun memperjuangkan syariat Allah, walhal hukum hakam syariah ribuan jumlahnya. Ayat hukum hakam sahaja tak kurang 500 ayat. Ertinya mendapatkan Tuhan lebih utama daripada syariatNya. Dengan cintakan Allah, manusia akan membuat sebanyak-banyak kebajikan demi Tuhannya. Tetapi ia belum mencukupi. Mungkin saja dia terlibat dalam maksiat walaupun lebat syariatnya. Di sini manusia perlu takut Tuhan. Dengan takutkan Tuhan, manusia akan meninggalkan laranganNya. Rasa cinta dan takutkan Tuhan inilah yang akan mengawal hidupnya sesuai dengan kehendak Allah Taala.

Pergi umrah ertinya menuju Allah yang Esa. Membawa hati dan diri yang hina. Memakai pakaian serba putih. Menyerah diri umpama mayat. Untuk diperlakukan apa saja. Sanggup bersusah payah meninggalkan larangan di dalam ihram. Demi menagih kasih sayangNya. Kalau orang lelaki, hanya dengan dua helai kain. Tanpa jahitan. Tanpa tutup kepala. Tanpa kasut kulit berkilat. Hanya selipar yang menampakkan 10 jari kaki. Bersesak-sesak. Berhimpit-himpit. Mengelilingi Kaabah 7 pusingan. Moga Allah kaabahkan hati. Sayukan hati apabila mengenang Tuhan. Sedih dengan sikap dan perangai buruk yang masih belum berubah sedangkan usia semakin lanjut. Otot-ototmu sudah tidak gagah lagi. 7 pusingan pun sudah sangat melelahkan. Kematian sebenarnya semakin dekat. Mohon Allah buang nafsu dan yahudi dalam hati. Jangan dibawa hingga mati.

Diteruskan dengan bersaie. Mengenangkan sejarah bonda kita, Siti Hajar. Bagaimana sabarnya beliau dengan penderitaan dan kesusahan. Hidup berdua dengan anaknya di Padang pasir kontang. Malu rasanya nak protes Tuhan. Selemah manapun penginapan masih di hotel. Jika makanan di kantin habis, masih ada duit di tangan untuk membeli makanan, minuman mengalas perut. Tidaklah sampai berlari-lari ke hujung, ke pangkal mencari air seperti bonda Siti Hajar.

Malu mengenangkan taatnya bonda kepada suami, tak protes langsung keputusan suami meninggalkannya di situ kerana yakin itulah arahan Allah dan Allah pasti akan membela.
Moga 7 kali berulang alik saie akan membina sifat-sifat mahmudah seperti keluarga Nabi Ibrahim AS. Taat, sabar, tawakkal, sanggup susah, sanggup menderita, sanggup berkorban dan dikorbankan demi agama. InsyaAllah akan hidup Islam dalam diri, dalam keluarga hingga mampu merubah masyarakat hasil dari umrah yang dihayati.

Bercukurlah, guntinglah rambut untuk bertahallul. Moga-moga gugurnya rambutmu Tuhan gantikan dengan rasa cinta dan takutkanNya, yang akan mengawal dirimu agar tetap di atas siratal mustaqim.

Akhir kata, selamat menjadi tetamu Allah. Selamat datang ke bumi Haramain untuk menunaikan umrah dan berziarah ke maqam kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.
Surau Mator Malik Abd Aziz, Jeddah.
10.22pm, Feb 21, 2013

Thursday, March 14, 2013

Sesat

“Kumpulan Umrah di Retajj Sofwa tu macam-macam masalah!”
Kata Pak Teh Khairil sebaik masuk ke bilik 704 Wahj Fooz dengan berkain pelikat. Hilang pening aku dengar cerita Khairil.
"Masalah apa Khairil?”
“Semasa di Madinah lagi, ada sepasang suami isteri dah bergaduh dengan ana.”
“La, kenapa la enta bergaduh dengan mereka?!”
“Semua benda tak puas hati. Nak dijadikan cerita, ketua kumpulan pula tak faham tanggung jawab. Bila dapat kunci hotel, dia terus agih-agihkan pada sesapa je di depannya.”
Pat-patnya,
Sapa cepat dia punya.
Berteraburlah jemaah tanpa susunan. Ramai yang tak dapat bilik, sedangkan banyak bilik yang belum penuh. Kunci diambil, bawa bagasi dan barang sendiri je. Terpaksalah diketuk setiap bilik, nak pastikan bilik yang mana ada kekosongan. Dalam kekalutan inilah, terpisah bilik antara suami isteri. Biasalah, terpisah-pisah di sini. Datang nak beribadah, bukan nak bersama isteri. Tapi mungkin dia dah bayar lebih, untuk dapat bilik khas, maka terkeluarlah amarahnya. Tak boleh tahan, lalu marah-marah. Sapa jadi mangsa? Siapa lagi kalau bukan petugas dan mutawwif. Selepas meluahkan kemarahannya, mereka terus nak melakukan umrah. Bila diminta menunggu mutawwif untuk membimbing dan memimpin, dia bukan saja menolak, malah menjawab dengan sombong;
“Tak payah! Saya dah selalu datang sini buat umrah!”
Khairil tak boleh buat apa-apa. Dibiarkan keduanya pergi. Tapi hati siapa tak terasa. Dia uruskan kedatangan mereka dari Madinah. Kenderaan, makan, minum, bagasi dan lain-lain. Dengan kelemahan yang berlaku, ada ramai je yang tenang. Sabar dan redha. Tapi ramai juga, tak dapat menahan sabar. Maka…..Keluarlah peluru berpandu, menikam hati kita….
Janganlah petugas dan mutawwif pula tak sabar. Kena la sabar, khasnya mutawwif-mutawwif muda. Sebab orang muda, darahnya panas. Kalau panas, jangan ditambah panas. Padamkan api dengan air bukan dicurah petrol. Kena sabar. Berbanyak sabar. Sebab Mekah ada Tuannya. Mereka tetamu Allah. Allah ada cara melayan mereka. Abdul Muttalib ketika berkata kepada Abrahah,
“Aku hanya mau kau kembalikan kambing-kambing kami! Ia milik kami. Adapun Kaabah milik Allah, Allah la yang akan membelanya."
Jadi, merendah dirilah di bumi Mekah. Jangan sombong-sombong!!.
Apa yang terjadi, sepasang suami isteri ini sesat selama 2 hari. Tak makan apa-apa. Minum air zam-zam aje. Bilik hotel tak dapat, katering pun melepas. Akhirnya Abil, mutawwif lama dapat call, ada orang jemaah yang sesat. suruh mereka naik teksi. Bila guide teksi, sampai la dekat hotel, driver tu kenakan tambang SAR200 pula. Mahal gila. Di’kencing’ driver teksi. Tapi tak sampai-sampai hotel. Lalu Abil mencari dan dekati, rupanya sedang menangis di bawah jambatan. Bila ditanya,
"Kenapa tak masuk hotel?"
Jawabnya, "Tak tau hotelnya di mana."
Abil tunjukkan, “Ni hotel Pak Cik!”, betul-betul depan jambatan, depan matanya.
"Oh, ni ke hotelnya?!”
Hah… Dah depan mata pun tak nampak. Boleh je Tuhan lakukan macam-macam. Sebenarnya di sini tak pelik, mutawwif pun boleh sesat, menangis teresak-esak. Tak jumpa hotel. Akhirnya tidur di masjidil haram. Ada hp tu. Dah lama di Mekah. Moga-moga kisah ini menginsafkan kita semua.
704, Wahj Al Fooz, Misfalah, Mekah.11.53am, Mac 1, 2013